Agaknya apa anda rasa jika orang teka umur anda itu lebih muda berbanding umur sebenar anda? Pasti tak lekang senyuman yang terukir.
Selain amalan senaman dan penjagaan kesihatan yang baik, antara bahan makanan yang boleh bantu anda yang mahu awet muda ialah pengambilan sayur-sayuran dan ulam-ulaman setiap hari disamping zat makanan yang lain.
Ia dipercayai penting untuk kelancaran proses penghadaman dan pencernaan. Jika kesuntukan masa untuk menyediakan masakan sayur, boleh amalkan ulam-ulaman. Mudah, sihat dan tak perlu dimasak melainkan dicelur atau direbus sebentar. Lebih enak jika ada sambal belacan!
1. Jantung pisang
Diperolehi daripada pokok pisang, jantung pisang atau bunga pisang ini berwarna merah keunguan. Tinggi serat dan mampu bantu elak sembelit, jantung pisang boleh menjadi menu yang baik semasa bulan puasa. Boleh direbus atau dicelur, dimasak lemak putih atau dibuat kerabu.
2. Ulam raja
Ulam raja hanya perlu dicuci bersih dan boleh terus dimakan mentah. Ibu dalam pantang pun bagus makan ulam raja ni. Nak tanam pun mudah sahaja. Antara khasiat ulam raja, bantu meremajakan kulit. Bolehlah diamalkan untuk awet muda.
3. Kacang botor/kelisa
Kacang botor boleh dimakan mentah atau dimasak. Lazimnya dikacau goreng. Pilih yang muda dan segar untuk rasa yang lebih enak. Kaya dengan protein dan mineral.
4. Timun Jepun
Ini antara ulam yang sedap dan rangup. Boleh dimakan dengan apa jua menu. Dipercayai timun dapat atasi masalah sembelit dan gastrik. Jadi, boleh amalkan memakan ulam timun sepanjang berpuasa ini.
Ini antara ulam yang sedap dan rangup. Boleh dimakan dengan apa jua menu. Dipercayai timun dapat atasi masalah sembelit dan gastrik. Jadi, boleh amalkan memakan ulam timun sepanjang berpuasa ini.
5. Petai
Salah satu ulam kegemaran rakyat Malaysia ni. Sama ada direbus atau dibakar, enak dimakan bersama sambal. Apatah lagi dimasukkan dalam sambal tumis! Biarpun bau petai kurang menyenangkan, tapi khasiatnya banyak. Kaya antioksidan dan serat untuk kesihatan tubuh anda.
6. Cekur
Pokok cekur, daripada rizom, pucuk dan daunnya semua boleh dimakan dan tinggi khasiat. Ulam kegemaran orang Jawa dan sering juga digunakan oleh ibu yang sedang berpantang untuk kecutkan rahim dan membuang angin. Selain rangup, cekur juga memberi aroma harum pada masakan.
7. Pegaga
Antara ulam yang popular dan sering dijumpai. Pegaga boleh dimakan begitu sahaja bersama sambal, dibuat jus atau dijadikan kerabu. Amalan meminum air rebusan pegaga pula dikatakan boleh menaikkan seri wajah. Bagus ni menjelang raya nanti untuk mendapat kulit muka berseri.
8. Bendi rebus
Selain dijadikan bahan dalam masakan seperti asam pedas dan kari, bendi juga lazat dimakan bersama sambal. Hanya celurkan sebentar hingga lembut. Antara khasiat bendi adalah menguatkan ingatan dan kecergasan memori. Juga merupakan satu sumber makanan yang baik untuk mereka yang menghadapi masalah sembelit, merawat ulser, mengurangkan darah haid berlebihan, untuk meningkatkan kesuburan, melegakan bengkak dan radang.
9. Selom
Daun selom biasa dimakan bersama laksa Kedah atau dibuat urap. Dijadikan ulam juga tak kurang enaknya. Mengandungi pelbagai nutrien antaranya kalsium dan vitamin C yang baik untuk kesihatan. Daun selom juga mudah ditanam dan boleh tumbuh meliar di kawasan berair dan lembap.
10. Pucuk ubi
Pucuk ubi rebus merupakan salah satu bahan utama dalam pecal Jawa. Tapi nak dicicah dengan sambal belacan pun sedap juga. Khasiat pucuk ubi antaranya dapat mengurangkan sakit kepala manakala air rebusannya pula dapat meredakan masalah cirit-birit.
11. Kaduk
Daun yang seakan-akan daun sirih ini menjadi bahan utama dalam menu snek tradisional Thai iaitu Miang-kham. Ia boleh juga dicelur sebentar dan dimakan bersama sambal. Air rebusan daun kaduk pula dikatakan dapat melawas kencing, melegakan selsema, sakit pinggang dan sengal tulang.
12. Jering
Mungkin ada yang kurang menggemari ulam ini disebabkan bau dan rasa nya yang agak tajam berbanding petai. Tetapi jering banyak khasiatnya kepada kesihatan. Antaranya mengawal kadar gula dalam darah, bantu kurangkan masalah anemia dan reput tulang.
13. Terung pipit
Berbentuk bulat, berwarna hijau dan bersaiz kecil, terung pipit sememangnya berbeza berbanding terung biasa. Rasanya sedikit pahit, jadi sedap jika dimakan bersama makanan pedas. Memang enak! Boleh direbus hingga lembut atau dimasukkan ke dalam sambal. Terung pipit dikatakan dapat melegakan sakit perut dan mengurangkan rekahan tumit kaki.
14. Rebung
Selain dibuat masak lemak, rebung juga boleh dijadikan ulam. Rebus dan hiriskan. Khasiat rebung? Bantu turunkan kolesterol, menyihatkan sistem pencernaan dan bantu proses detoksifikasi badan.
15. Peria katak
Biarpun rasanya amat pahit tapi kaya dengan khasiat. Dipercayai dapat bantu rendahkan tekanan darah tinggi dan kawal paras gula darah pada pesakit diabetes. Jika mampu tahan pahit, boleh dimakan mentah. Jika tidak, boleh cuba masak goreng bersama ikan bilis atau taucu. Bagi anda yang mahu awet muda tapi ada masalah kesihatan atau was-was dengan apa yang dicadangkan di atas ini, mohon bertanya terlebih dahulu dengan doktor, ahli dietetik atau ahli pemakanan.
0 comments:
Post a Comment