Friday, May 11, 2018

8 Gerai Nasi Kukus “Wajib Serbu" Di Lembah Klang. Memang Terbaik Dan Pasti Tak Menyesal!

  • Nasi kukus adalah antara menu kegemaran masyarakat Malaysia. Biasanya nasi kukus dihidangkan bersama ayam goreng rempah, berserta kuah gulai dan sambal belacan. Memang mantap!

    • Buat penggemar nasi kukus, berita baik untuk anda kerana hari ini kami akan kongsikan 8 gerai dan restoran nasi kukus yang terbaik di sekitar Lembah Klang. Agak-agaknya di mana ya?
  • 1. Ilham Nasi Kukus

    • Ilham Nasi Kukus sudah beroperasi sejak 3 tahun lalu dan mengamalkan konsep layan diri kepada pelanggan-pelanggannya. Konsep makan di sini adalah pelanggan mempunyai kebebasan untuk mengambil sendiri makanan dan minuman mereka. Resepi nasi kukus di sini adalah resepi turun-temurun dan dimasak dengan cara tradisi masakan Kelantan. Nasi kukus di sini terdiri daripada gabungan nasi, 3 jenis kuah, ayam goreng, ikan bilis dan nanas. 

      Ia dijual dengan harga RM6 malah anda pasti berpuas hati kerana nasi yang disediakan untuk setiap hidangan sangat banyak serta ayam gorengnya juga bersaiz agak besar. Sedap dan pastinya mengenyangkan!

      Alamat: No.7,jalan PJU 7/16, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Malaysia.
      Waktu Operasi: 11.30 pagi - 10 malam (setiap hari)
      No. Telefon: 013-966 2525

      Layari Facebook dan Instagram untuk maklumat lanjut.
  • 2. Nasi Kukus Farni

    • Bagi yang sudah biasa ke sini, beratur panjang untuk mendapatkan nasi kukus ini bukanlah lagi perkara yang luar biasa. Ini kerana setiap masa kedai ini akan dipenuhi ramai manusia. Nasi kukus gabungan gulai daging, kari ikan, hirisan timun dan sambal, ditambah pula dengan ayam goreng berempah ini mampu membuatkan sesiapa pun ingin mencubanya. Terdapat tiga jenis ayam goreng yang disediakan di sini iaitu terdiri daripada ayam biasa, ayam kampung dan ayam dara

      Set ayam dijual pada harga RM5 dan haruman nasi kukus ini ditambahkan lagi dengan bauan alas daun pisang yang pastinya membuka selera. Dalam masa yang sama Nasi Kukus Farni juga menyediakan perkhidmatan katering.

      Alamat: Jalan Setia Murni, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia.
      Waktu Operasi: 11.30 pagi - 2 petang (cuti pada Ahad)
      No. Telefon: 012-710 2206

      Layari farniscatering.blogspot.my untuk maklumat lanjut.
  • 3. Nasi Kukus Ayam Dara

    • Gerai Nasi Kukus Ayam Dara yang terletak di Taman Melati, Kuala Lumpur ini sudah cukup terkenal di sana. Ramai yang mengatakan rasanya sangat sedap dan asli apabila nasi kukus ini dimakan dalam keadaan yang masih panas. Rasa garing ayam ditambah pula dengan kuah kari yang panas pastinya memberikan rasa yang sangat enak dan menyelerakan. Kata orang, sekali cuba pasti nak lagi. 

      Setiap set nasi kukus berharga RM7 dan menariknya anda bakal diberi air minuman seperti teh o ais atau limau ais dengan percuma. Jika mahukan kelainan, anda juga boleh mencuba set Nasi Kukus Ikan Bawal dan Nasi Kukus Ikan Keli yang ada di sini.

      Alamat: Pt22 Jln Taman Melati, Taman Melati Gombak, 53100 Kuala Lumpur, Malaysia.
      Waktu Operasi: 11 pagi - 12 malam (setiap hari)
      No. Telefon: 018-575 8153

      Layari Facebook untuk maklumat lanjut.
  • 4. D’Naim Nasi Kukus

    • D'Naim Nasi Kukus pula sering dilihat penuh dengan orang ramai pada sebelah malam. Dikhabarkan bahawa 400 bungkus nasi kukus terjual dalam sehari. Setiap satu bungkus nasi kukus dijual dengan harga yang agak murah iaitu RM5.50.

      Kombinasi nasi kukus, gulai kerutuk, ayam goreng berempah dengan sedikit sambal menjadikan nasi kukus ini sememangnya perlu dicuba dan dirasai oleh sesiapa saja yang masih merindukan masakan Kelantan di tengah ibu kota Kuala Lumpur. Kedudukan gerai yang strategik di tepi jalan ini nampaknya betul-betul memberi tuah kepada D'Naim Nasi Kukus kerana dikatakan sering dikunjungi orang ramai pada setiap masa.

      Alamat: Jalan Pantai Dalam, Taman Pantai Indah, 59200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia.
      Waktu Operasi: 6.30 pagi - 12 malam (setiap hari)
      No. Telefon: 012-945 4440

      Layari Facebook untuk maklumat lanjut.
  • 5. Sajian Aalia Nasi Kukus

    • Apabila tiba di sini anda akan ‘disajikan’ terlebih dahulu dengan aroma daun pisang berserta ayam goreng berempah. Nasi Kukus di sini dijual dengan harga bermula RM5untuk set ayam goreng berempah, manakala untuk set ikan bakar pula dijual dengan harga RM6. Jadi buat mereka yang tidak menggemari ayam, terdapat ikan bakar sebagai menu pilihan.

      Selain itu, terdapat set nasi kukus bersama daging yang juga dijual dengan harga RM6. Berlainan dari gerai nasi kukus yang lain, pilihan kuah di sini pula terdiri daripada gulai daging, kaki ayam dan ikan

      Alamat: VG-13, Block L, Jalan Plumbum V7/V, Seksyen 7, Shah Alam.
      Waktu Operasi: 24 jam
      No. Telefon: 016-380 3320

      Layari Facebook dan Instagram untuk maklumat lanjut.
  • 6. Nasi Kukus Hayaki

    • Menu di Hayaki adalah pelbagai tetapi nasi kukus adalah salah satu menunya yang sering mendapat pujian. Rasa nasi kukus ini dikatakan sangat asli dan resipi yang digunakan juga adalah resipi turun-temurun. Nasi kukus hayaki dihidangkan bersama daun pisang sebagai alas. Bau haruman daun pisang bercampur dengan haruman nasi kukus ini benar-benar membangkitkan nafsu makan anda.

      Satu set nasi kukus dijual dengan harga RM7.90 dan di sini juga disediakan wifi untuk digunakan oleh pengunjung. Kawasan restoran ini juga agak selesa dan jika anda ambil lunch set anda akan menerima air teh o ais percuma. Sebenarnya Hayaki bermula di Kota Bharu, Kelantan dan selain Damansara Uptown, Hayaki juga mempunyai cawangan lain di Shah Alam dan Platinum Walk, Setapak. 

      Alamat: 1 & 3 Jalan SS21/37, Damansara Utama Uptown, 47400 Petaling Jaya
      Waktu Operasi: 24 jam
      No. Telefon: 03-7732 9912

      Layari www.hayaki.com.my untuk maklumat lanjut.
  • 7. Nasi Kukus RZ

    • Restoran Nasi Kukus RZ pastinya sudah terkenal di Shah Alam, tambah-tambah lagi dalam kalangan pelajar-pelajar universiti dan kolej di sana. Di sini, pengunjung dibenarkan memilih bahagian ayam yang ingin dimakan. Biasalah, setiap orang pastinya mempunyai bahagian ayam yang disukai bukan?

      Buat sesiapa yang berkunjung ke sini, anda pasti akan menyukai kuah gulai yang dihidangkan kerana rasanya memang lemak habis. Sambal belacan yang dihidang pun sedap, memang kena sangat jika digaulkan dengan gulai tersebut. Harga bagi setiap hidangan nasi kukus pula adalah sebanyak RM6. Selain nasi kukus, anda dinasihatkan untuk mencuba rasa dadih susu yang dijual di sini. Memang sedap!

      Alamat: Jalan Plumbum AA/7AA, 40000 Shah Alam, Malaysia
      Waktu Operasi: 8 pagi - 2 pagi (Sabtu hingga Khamis) / 3 petang - 2 pagi (Jumaat)
      No. Telefon: 013-744 4440

      Layari Facebook untuk maklumat lanjut.
  • 8. Azul Authentic Nasi Kukus

    • Buat orang Selayang, anda pasti sudah mencuba nasi kukus di Azul Authentic Nasi Kukus ini bukan? Memang kena dengan namanya, rasa nasi kukus yang dijual di sini memang benar-benar autentik. Ramai yang memberi respon, selain daripada nasinya yang harum, nasi kukusnya pun berderai sekaligus memberi rasa yang agak berlainan.

      “Tak pekena sasau, kena mengigau” itu adalah tagline yang digunakan oleh restoran ini. Bukan sekadar menghidangkan nasi kukus yang sedap, namun susur atur perabot dan konsep restoran ini sangat kemas dan teratur. Di dindingnya terhias foto-foto berbingkai untuk menambahkan lagi seri restoran ini. Set nasi kukus yang disediakan adalah Nasi Kukus Ayam Berempah, Nasi Kukus Daging Kerutuk, Nasi Kukus Ikan Keli Berempah dan juga terdapat mee kari dan rojak buah. Nasi kukus dijual bermula dengan harga serendah RM6.

      Alamat: No.47 Jalan PS8 Prima Selayang KM15 Jalan Rawang 68100 Batu Caves, Selangor.
      Waktu Operasi: 10 pagi - 6 petang (tutup setiap Ahad)

      Layari Facebook untuk maklumat lanjut.

0 comments:

Post a Comment