Saturday, May 12, 2018

Bosan Dengan Menu Berpantang Yang Sama? Jom Cuba 5 Jenis Resipi Sihat Ini!

“Bosanlah asyik makan menu yang sama sahaja semasa berpantang ni, nak cuba menu lain apa lagi ye?”
Memang boleh buntu bila fikirkan apa yang boleh dimakan semasa berpantang ni kan? Asyik pusing menu yang sama sahaja setiap hari kerana kurang pandai mempelbagaikan jenis masakan ketika berpantang. Jangan risau, kalau anda masih tak tahu apa yang boleh dimasak dan dimakan, jom kita cuba 5 jenis resipi ini yang sesuai untuk mengekalkan kesihatan ibu semasa berpantang.


1. HARUAN KUKUS SERAI

Ikan haruan ternyata merupakan salah satu jenis ikan yang sesuai diamalkan oleh ibu semasa berpantang. Hal ini kerana, ikan haruan sangat bagus untuk menyembuhkan luka selepas bersalin. Kalau tak tahu nak masak apa tu, anda boleh cuba untuk masa ikan haruan kukus serai ini dan dimakan bersama nasi panas.

Bahan-bahan diperlukan:

  • 1 ekor ikan haruan (Dibersihkan dan dikelar rapat) 
  • 2 ulas bawang putih (Dihiris)
  • 3 biji bawang merah (Dihiris)
  • 5 biji cili api (Dihiris)
  • 3 batang serai (Diketuk) 
  • 1 cawan air 
  • 1 pokok daun ketumbar (Diracik) 
  • 3 biji limau kesturi (Diambil perahannya) 
  • Garam secukup rasa 

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Sapukan garam pada seluruh ikan. 
  2. Masukkan semua bahan yang dihiris, serai, ikan haruan, air, dan garam ke dalam kuali. 
  3. Masak ikan dengan api yang kuat selama 8 hingga 10 minit. 
  4. Angkat dan letakkan ke dalam pinggan hidangan dan taburkan daun ketumbar yang diracik dan perahan limau. 
  5. Sedia dihidangkan dengan sambal belacan ataupun air asam.


2. SUP IKAN HARUAN

Ini boleh dikatakan antara menu wajib dimakan bagi ibu yang masih berada dalam tempoh berpantang. Mungkin anda akan bosan dengan menu yang sama  tapi selepas habis tempoh berpantang, susah pula nak makan menu macam ini kan? Sudah semestinya, sup ikan haruan ini akan memberikan anda tenaga yang positif dan dapat membantu menyembuhkan luka dengan cepat.

Bahan-bahan diperlukan:

  • 1 ekor ikan haruan (Dibersih dan dipotong kecil) 
  • 1 ulas bawang putih (Dihiris)
  • 3 biji bawang merah (Dihiris) 
  • 1 inci halia (Dihiris)
  • 2 cawan air 
  • 1 inci kunyit hidup (Dihiris)
  • 1 biji cili merah (Dihiris)
  • 1 sudu makan lada hitam 
  • 1 keping asam gelugur 
  • 2 sudu makan minyak masak
  • 1 pokok daun sup (Diracik) 
  • 2 sudu makan bawang goreng 
  • Garam secukup rasa

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih, bawang merah, dan halia sehingga naik bau. 
  2. Masukkan air, kunyit hidup, lada hitam, cili merah, asam gelugor, dan garam. Masakkan sehingga mendidih. 
  3. Masukkan ikan dan biarkan mendidih sekali lagi. Tutupkan api. 
  4. Sedia dihidangkan dengan daun sup dan bawang goreng.


3. BUBUR AYAM SIHAT

Sangat sesuai untuk dijadikan sarapan pagi, makanan tengahari dan makan malam, bubur ayam sihat ini sudah semestinya menjadi kegemaran ibu yang berada dalam tempoh berpantang. Mudah untuk dimakan dan mudah untuk disediakan, si ibu juga tidak perlukan bantuan sesiapa untuk memasaknya sendirian. Sedap pula tu!

Bahan-bahan diperlukan:

Bahan A
  • 1 cawan beras 
  • ½ inci halia (dihiris)
  • 3 ulas bawang merah (dihiris)
  • 4 cawan air 
  • 1 keping dada ayam 
  • 1 sudu makan rempah kari 
  • 1 cawan minyak masak 
  • Sedikit garam
Bahan B (Hiasan)
  • 1 pokok daun sup (dihiris)
  • 1 pokok daun bawang (dihiris)
  • 2 sudu makan bawang goreng

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Basuh beras dan rendamkan selama 1 jam-2 jam. Tuskan. 
  2. Masukkan beras, halia, bawang merah, garam dan air di dalam periuk. Masakkan sehingga beras hancur dan kembang. 
  3. Dada ayam digaulkan dengan garam dan rempah kari. 
  4. Panaskan minyak masak di dalam kuali dan gorengkan ayam sehingga 
    garing. Sejukkan. 
  5. Koyakkan (siatkan) ayam goreng dan ketepikan. 
  6. Masukkan nasi bubur ke dalam mangkuk hidang dan taburkan ayam 
    goreng yang dikoyakkan dan bahan B sebagai hiasan. 
  7. Sedia dihidangkan.


4. SALAD SALMON

Kaya dengan protein dan Omega 3, ikan salmon adalah salah satu jenis ikan yang sesuai diamalkan oleh ibu dalam berpantang. Jika anda sudah biasa makan ikan salmon secara mentah, bila berada dalam berpantang ini pastikan anda masak dahulu isi ikan ini secara ‘grill’ atau rebus dulu ya.

Bahan-bahan diperlukan:

Bahan A
  • 2 keping ikan salmon 
  • 1 batang timun jepun (Dihiris) 
  • 1 batang lobak merah  (Disagat kasar) 
  • 10 biji tomato ceri (Dibelah 2) 
  • 4 biji bawang merah (Dihiris)
  • 1 pokok daun bawang (Dihiris)
  • ½ cawan daun pudina (Dihiris)
  • 1 biji cili merah (Dihiris) 
Bahan B
  • 2 sudu makan sos cili Thai 
  • 2 biji limau kesturi (Diambil jus) 
  • 2 sudu makan kicap cair

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Bersihkan ikan salmon dan sapukan garam. 
  2. Bakarkan di dalam kuali non stick sehingga masak. Peroikan isi ikan. 
  3. Belah dua timun jepun kemudian hiriskan. 
  4. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk besar. 
  5. Di dalam mangkuk lain masukkan semua bahan B. Kacau sebati. 
  6. Tuangkan ke dalam mangkuk berisi sayuran dan kacau rata. 
  7. Sedia dihidangkan.


5. SERUNDING IKAN BILIS KERING

Paling mudah untuk dimakan bersama nasi, lauk serunding sudah semestinya menjadi salah satu pilihan ibu-ibu dalam berpantang. Bukan sahaja mudah untuk dimakan, kandungan halia dalam serunding ini juga bagus untuk mengeluarkan angin dalam badan para ibu. Makan dengan nasi panas-panas memang sedap!

Bahan-bahan diperlukan:

  • 500 g ikan bilis 
  • 5 sudu makan minyak masak 
  • 15 tangkai cili kering   
  • 1 inci halia                
  • 2 batang serai             
  • 2 labu bawang besar 
  • 3 ulas bawang putih  
  • ( Cili kering, halia, serai, bawang besar dan putih dikisar bersama)
  • 1 cawan santan pekat 
  • 2 keping asam gelugur 
  • 1 helai daun kunyit (dihiris halus) 
  • 1 sudu teh gula 
  • Garam secukup rasa

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Rendamkan ikan bilis dan kisarkan sedikit. 
  2. Panaskan minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. 
  3. Masukkan santan pekat, asam gelugur, daun kunyit, gula, garam dan ikan bilis. 
  4. Kacau rata sehingga masakan agak kering. Hidangkan.

Sumber: MyResipi.com

0 comments:

Post a Comment